DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.

Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH S.W.T dan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah utusanNYA. Salawat dan salam buat baginda Rasullullah S.A.W, insan yang menyampaikan kepada kami agama untuk menyelamatkan manusia daripada bencana jahiliah. Ya ALLAH, Ya Tuhanku, ajarkanlah aku sesuatu yang aku tidak mengetahui, peringatkanlah aku jika terlalai ataupun terlupa. Ya ALLAH, Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan permudahkanlah segala apa jua urusanku.

Assalamualaikum dan Salam Hormat.

Alhamdulillah… Dengan berpandukan Al-Quran dan Hadith serta di atas kudrat dan irodat dari Allah SWT, setelah sekian lama mencari, mengkaji,meneliti dan membuat testimoni kepada orang ramai tentang kesahihan sifat sebenar di sebalik nama, dengan izin ALLAH S.W.T saya telah diberi sedikit kelebihan dariNya untuk membongkar dan merungkai satu persatu tentang misteri rahsia di sebalik kelebihan dan kelemahan dari nama yang tercipta untuk kita.

Walau apa pun keadaan perjalanan kehidupan yang anda hadapi sekarang ini, jangan risau, jangan sedih, jangan kecewa dan jangan anda kesali. Kesimpulannya pasti anda akan ketemui di dalam blog ini. Anda perlu ingat, hidup harus diteruskan dan perjuangan anda masih belum selesai.

Sememangnya pada satu tahap dalam kehidupan, anda sering berasa kekurangan dan tidak puas dengan apa yang anda kecapi. Tapi bukan bermakna anda tidak bersyukur atas apa yang anda miliki, cuma anda ingin mendapatkan yang terbaik untuk kehidupan yang kehadapan.

Harapan saya semoga dengan blog ini sedikit sebanyak ianya dapat dimanfaatkan oleh sekalian muslimin dan muslimat bagi mandapatkan panduan hidup dan keredhaan ALLAH SWT.

Renungilah sejenak kerana esok tidak akan sama seperti hari ini sebagaimana kelmarin yang sudah kita rasai perjalanan dan kehidupannya.

Wassalam.

SIFAT/ KARAKTER MANUSIA

Memang setiap manusia akan lebih menilai dirinya sebagai orang baik dan mudah mencela serta mengungkap kesalahan orang lain, dan apabila dia dicela tentang kesalahannya pula dia akan marah walaupun kesalahan itu datang dari dirinya.

Jika dipuji tentang kebaikan pula, memang dia cukup suka walaupun kebaikan itu sebenarnya bukan ada padanya. Bagi membongkar apa jua kesalahan dalam diri, maka kita perlu cari penyakit yang selama ini melekat di dalam hati sanubari. Tetapi kita sanggup menyembunyikannya kerana bimbang jika diketahui oleh orang lain, sedangkan Allah SWT mengetahui segala perbuatan dan rahsia hambanya.

Dijelaskan lagi di dalam Al-Quran tentang beberapa sifat/karakter manusia diantaranya adalah yang menunjukkan manusia lebih cenderung menjadi sombong dan bongkak serta membantah Allah SWT seperti di dalam surah di bawah;

“….. Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahawa sesungguhnya, Kami telah menciptakannya dahulu, padahal (sebelumnya) dia belum berwujud sama sekali…….” (surah Maryam, ayat 67).

“…..Dia telah menciptakan manusia dari mani, kemudian (setelah disempurnakan) ternyata dia menjadi pembantah yang nyata…..” (surah Al-Nahl, ayat 4).

“…..Allah hendak memberikan keringanan kepadamu kerana manusia diciptakan (bersifat) lemah…..” (surah An-Nisa, ayat 28).

“…..Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pengasih. Yang telah menciptakanmu lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuh)mu seimbang, Dalam bentuk apa saja yang dikehendaki. Dia menyusun tubuhmu…..”
(surah Al-Infitar, ayat 6-8).

Selain itu juga, Al-Quran menjelaskan lagi tentang sifat manusia yang melupakan Allah apabila mereka menjadi kaya dan kuat serta sifat manusia yang ingatkan Allah iaitu mereka merendahkan diri dan berdoa apabila ditimpa kesusahan, seperti di dalam surah ini;

“…..Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu darinya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan…..”
(surah Yunus, ayat 12).

“…..Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, nescaya hilang semua yang (biasa) kamu seru, kecuali Dia. Tetapi ketika Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (dari-Nya). Dan manusia memang selalu ingkar (tidak bersyukur)…..” (surah Al-Isra, ayat 67).

Selain dari itu juga, terdapat ayat Al-Quran yang menunjukkan kemampuan manusia berbicara iaitu;

“…..(Allah) Yang Maha Pengasih, Yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia menciptakan manusia, mengajarnya pandai berbicara…..”(surah Ar-Rahman, ayat 1-4)

Dan sifat/karakter manusia yang perlu kita sama-sama renungkan juga terdapat di dalam 2 surah terakhir ini yang boleh kita jadikan sebagai peringatan, cabaran, iktibar dan semangat untuk lebih tenang, selesa, bahagia dan berjaya……

“…..Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang mukmin…..Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia itu melainkan agar mereka mengabdi kepada-Ku…..” (surah Al-Zariyat, ayat 55-56).

“…..Demi masa...Sesungguhnya, manusia itu berada di dalam kerugian...              Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran…..”(surah Al-Asr, ayat 1-3).

Perlu diingatkan lagi di sini, adalah menjadi suatu penipuan, sekiranya anda menafikan keinginan untuk berjaya dan memiliki jiwa yang tenang seperti rakan-rakan anda yang lain. Mungkin dalam keadaan sedar ataupun tidak anda sedang ketinggalan jauh dari matlamat hidup dan dalam masa yang sama anda tidak lagi dapat membezakan yang mana satu kejayaan dan yang mana satu kegagalan.

Jangan malu untuk memulakan sesuatu, faktor umur bukan permasalahan atau penghalang  utama. Ilmu yang dipelajari patut diketahui oleh semua umat manusia, tidak kira bangsa, agama, umur, susah, senang, kaya, miskin, yang bekerja mahupun yang masih dalam persekolahan.

Sebaik sahaja anda membaca dan meneliti setiap bait-bait perkataan dalam blog ini, saya nasihatkan anda haruslah segera mengambil tindakan dalam mengubah diri serta kehidupan yang lebih baik dalam arus dunia yang penuh pancaroba ini.

Tiada sesiapapun yang boleh mengubah anda, melainkan diri anda sendiri. Kunci dan juga mangga, semua telah tersedia di tangan anda cuma menunggu saja bila masa anda ingin membukanya.

Pengikut